About

Memaparkan catatan dengan label tips. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tips. Papar semua catatan

Rabu, 20 Mac 2013

TIPS PENYEDIAAN SATE


TIPS MEMBAKAR SATE
  • Guna arang kayu bakau yang berkualiti
  • Menyalakan api dengan menggunakan minyak masak. Bahan-bahan lain seperti petrol dan bahan plastik tidak boleh digunakan sama sekali.
  • Pastikan seluruh arang telah terbakar dan menjadi bara.
  • Serakkan bara sama rata di tempat pembakar
  • Letakkan sate di tempat pemanggang. Ikut susunan dari kiri ke kanan (bagi tangan kidal buat sebalilknya). 
  • Bakar masak pipih saja. Terbalikan berulang kali supaya masak rata. (Kemahiran yang perlu dikuasai dengan baik - jika tidak, sate akan hangus atau tidak masak sepenuhnya)
  • Semasa membakar jangan selalu merenjiskan minyak yang dicampur dengan lebihan bahan perap kerana ia akan menyebabkan sate cepat hangus dibahagian luaran
  • Semasa membakar sate ia tidak boleh terkena api secara langsung kerana ia akan membuatkan daging menjadi keras. Cukup sekadar daging berubah warna saja.
  • Gunakan kipas untuk kawal bara. Kipas angin eletrik juga boleh digunakan jika membakar sate berskala besar.

TIPS MELEMBUTKAN DAGING SATE

1. Menggunakan Tepung Ubi/Kanji.

  • Sebelum dibakar, daging sate yang sudah ditusuk dilumurkan dengan sedikit tepung ubi/kanji. Dibiarkan selama 15 minit. Kemudian digoyangkan sebentar untuk menghilangkan tepung ubi/kanji yang berlebihan sebelum sate dibakar
2. Menggunakan Daun Betik
  • Bungkus daging yang belum ditusuk dengan menggunakan daun betik. Biarkan selama 20 minit. Setelah itu daging tidak perlu dicuci tetapi terus ditusuk dan dibakar
3. Menggunakan Air Kelapa
  • Rendamkan daging dengan air kelapa boleh melembutkan tekstur daging. Cara ini juga berkesan untuk menghilangkan bau hamis pada daging (terutama daging kambing). 
4. Menggunakan Nenas Parut.
  • Merendam daging dalam parutan nenas memang sangat efektif untuk membuat daging menjadi lembut. Namun demikian kita perlu juga berhati-hati kerana merendamnya dalam jangka waktu yang lama akan menyebabkan daging menjadi hancur. 



RESIPI SATE


Di bahagian awal saya telah jelaskan asal usul sate dan sedikit informasi berkaitan dengan perniagaan sate di Malaysia. Hari ini saya akan kongsikan bersama resipi penyediaan sate dan kuah sate yang saya perolehi daripada rakan-rakan bloger yang lain. 

Untuk menghasilkan sate ayam atau daging yang lembut dan berkualiti pengusaha hendaklah membuat beberapa penyelidikan sendiri. Belajar daripada otai-otai sate yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini. 


Untuk menghasilkan sate yang sedap, berkualiti dan selamat dimakan, kita perlu elakkan penggunaan kulit dan lemak. Pilihlah ayam atau daging yang terbaik. Jangan gunakan ayam atau daging frozen. 


Terima kasih saya pada semua rakan bloger yang memberi sumbangan dalam menghasilkan rencana ini. Dan terima kasih kerana gambar yang saya gunakan sebagai sampel.



SATE AYAM / DAGING

Bahan-Bahan sate : 


  • 400 gram daging/ayam (tanpa tulang) - dipotong kecik
  • 1/2 sudu teh garam
  • 40 gram gula
  • lidi sate - direndam dengan air
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 batang serai -dititik utk merenjis sate
Bahan dikisar :
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 cm kunyit hidup
  • 2 biji buah keras
  • 1 cm lengkuas
  • 1/2 sudu besar ketumbar - disangai
  • 1/2 sudu teh jintan manis - disangai
  • 1/2 sudu teh jintan putih - disangai
  • 2 sudu besar air asam jawa sederhana pekat
  • 4 sudu besar santan ( ganti dgn susu cair pun boleh)
  • 1 batang serai

Cara Membuat Sate :

  • Perap daging/ayam dengan bahan kisar, garam dan gula selama 3 jam ( lebih elok diperap semalaman)
  • Cucuk daging/ayam pada lidi sate
  • Lebihan bahan perap dicampur dengan 3 sudu besar minyak masak dan renjis gunakan serai yang telah dititik semasa proses pembakaran sate.


KUAH KACANG 


Bahan-Bahan Kuah Kacang :


  • 300 gram kacang tanah - disangai
  • 100 gram gula pasir
  • 150 gram gula merah
  • 40 gram asam jawa
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 cawan minyak masak

Bahan Kisar :

  • 2 biji buah keras
  • 1 sudu besar ketumbar biji - disangai
  • 1 sudu kecil jintan putih - disangai
  • 1 susu kecil jintan manis - disangai
  • 2 hiris lengkuas
  • 2 hiris halia muda
  • 20 tangkai lada kering - direbus
  • 7 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 7 batang serai - dihiris
  • 20 gram udang kering

Cara Membuat :

  • Satukan gula merah dan asam jawa - diramas dengan air yang cukup untuk mendapatkan 500 gram air asam jawa
  • Bancuh kacang tanah kisar
  • Satukan semua bahan dan gaul rata
  • Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga garing
  • Masukkan gula, garam, ajinomoto dan serbuk kunyit dan gaul rata
  • Masukkan bancuhan gula merah, air asam jawa dan kacang tanah tadi ke dalam bahan tumis
  • Masak atas api yang sederhana hingga keluar minyaknya